BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, October 28, 2011

bab 7 taburan penduduk


Taburan Penduduk
1. Jadual di bawah menunjukkan taburan penduduk Malaysia mengikut negeri-negeri yang tertentu pada tahun 2000.
2. Jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2000 ialah sebanyak 23.27 juta orang berbanding 18.38 juta orang pada tahun 1991.
3. Daripada jumlah keseluruhan ini sebanyak 78.7% (18.54 juta orang) tinggal di Semenanjung Malaysia, 11.4% (2.66 juta orang) tinggal di Sabah, dan 8.9% (2.07 juta orang) tinggal di Sarawak.

Jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2000
4. Peta di bawah menunjukkan taburan penduduk Malaysia yang tidak sekata. Umumnya taburan penduduk ini dapat dibahagikan kepada kawasan penduduk padat, sederhana padat dan jarang.

Taburan penduduk Malaysia
1. Di Malaysia, kawasan berpenduduk padat ialah kawasan yang mempunyai jumlah penduduk yang melebihi 200 orang sekilometer persegi.
2. Di pantai barat Semenanjung Malaysia, kawasan berpenduduk padat adalah seperti Lembah Klang, Lembah Kinta, Pulau Pinang, Seberang Perai, Dataran Kedah-Perlis, Seremban, Melaka, dan Johor Bahru.
3. Manakala di pantai timur Semenanjung Malaysia pula, kawasan yang menjadi tumpuan penduduk adalah di kawasan dataran atau delta. Antaranya seperti Dataran Terengganu dan Delta Kelantan serta bandar Kuantan.
4. Kawasan dataran dan delta menjadi tumpuan penduduk kerana terdapatnya tanih aluvium yang subur dan sesuai untuk kegiatan penanaman padi.
5. Perkembangan beberapa buah bandar seperti Alor Setar, Kota Bahru, dan Kuala Terengganudikaitkan dengan kegiatan penanaman padi di kawasan tersebut.
6. Kegiatan perlombongan juga turut mempengaruhi kepadatan penduduk di sesuatu kawasan khususnya Lembah Klang di Kuala Lumpur dan Lembah Kinta.
7. Selain pengaruh kegiatan sosioekonomi, bandar-bandar utama yang berfungsi sebagai ibu negeri, pusat perniagaan dan perdagangan, pusat kewangan dan pusat perindustrian juga menyebabkan bandar berpenduduk padat. Antaranya seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Georgetown dan Johor Bahru.
8. Bagi negeri-negeri Malaysia Timur pula, Kota Kinabalu di Sabah dan Kuching di Sarawak merupakan antara kawasan yang berpenduduk padat.
1. Kawasan yang berpenduduk sederhana ialah kawasan yang mempunyai jumlah penduduk antara 50 hingga 200 orang sekilometer persegi.
2. Taburan penduduk di kawasan sederhana ini meliputi kawasan-kawasan pertanian danperikanan utama seperti:
(a) kawasan penanaman padi, getah dan kelapa sawit di pantai barat Semenanjung Malaysia
(b) kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia antara Dungun dengan kawasan luar Kuantan, di bandar Mersing dan kawasan sekitarnya.
(c) kawasan rancangan kemanjuan tanah seperti Jengka Tiga Segi, Pahang Tenggara, Johor Tenggara, dan Kelantan Selatan
(d) pantai barat dan pantai timur Sabah seperti Sandakan dan kawasan di sekitarnya ialitu Lahad Datu dan Tawau
(e) bandar-bandar kecil seperti Sibu, Bintulu, dan Miri di kawasan pantai barat Sarawak serta kawasan di sepanjang Sungai Rajang.
1. Kawasan berpenduduk jarang ialah kawasan yang mempunyai jumlah penduduk yang kurang daripada 50 orang sekilometer persegi.
2. Kawasan yang jarang penduduk merupakan kawasan berhutan tebal dan kawasan pedalaman. Contohnya
(a) kawasan berhutan tebal dan bergunung-ganang di Sabah dan Sarawak.
(b) kawasan paya bakau dan paya air tawar di bahagian timur negeri Johor, pantai timur Sabah dan pantai Sarawak.
3. Kawasan pergunungan dan berhutan tebal merupakan kawasan terpencil kerana kesukaran untuk dihubungi. Keadaan ini disebabkan kurangnya kemudahan pengangkutan dan perhubungan yang menghubungkan kawasan tersebut dengan dunia luar.
4. Penduduk di kawasan pergunungan mempunyai kepadatan yang sangat rendah dan tinggal secara berselerak. Mereka menjalankan kegiatan pertanian khususnya pertanian pindah.
Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Taburan Penduduk Negara Malaysia

1. Taburan penduduk Malaysia yang tidak sekata dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti:
(a) bentuk muka bumi
(b) kegiatan sosioekonomi
(c) sumber mineral
(d) dasar kerajaan (governan)
(e) pengangkutan dan perhubungan.
1. Kawasan tanah pamah merupakan kawasan yang berpenduduk padat. Di Semenanjung Malaysia kawasan penduduk padat tertumpu di jaluran tanah pamah yang menganjur dari
(a) Utara Perlis ke Taiping, Lembah Kinta hingga ke Teluk Intan
(b) Kuala Kubu ke Lembah Klang sehingga ke Seremban
(c) Melaka ke Batu Pahat, sekitar Johor Bahru, Kuantan, dataran Kuala Terengganu, dan
Kota Bahru.
(d) Sekitar Kuching, Sarikei, dan Sibu.
(e) Kota Kinabalu
2. Keadaan bentuk muka bumi yang agak rata di kawasan tanah pamah menjadikan kawasan tersebut tumpuan penduduk kerana mudah untuk membina petempatan, jaringan pengangkutan, dan perhubungan.
3. Selain itu, keadaan tanah pamah yang subur sesuai untuk aktiviti pertanian juga menjadi faktor penduduk bertumpu ke kawasan tersebut. Contohnya Dataran Kedah-Perlis, Delta Kelantan dan Dataran Kerian menjadi tumpuan penduduk untuk menjalankan kegiatan penanaman padi.
4. Faktor ini juga telah menyebabkan perkembangan pelbagai kegiatan ekonomi lain seperti perniagaan dan perdagangan. Ini mendorong penduduk untuk bertumpu ke kawasan tersebut kerana adanya peluang pekerjaan.
5. Kawasan yang mempunyai sistem saliran yang baik juga menjadi faktor tumpuan penduduk. Sejak zaman dahulu lagi sungai memainkan peranan penting dalam kehidupan mereka terutamanya ketika pembinaan petempatan awal. Lembah Sungai Rajang di Sarawak dan Lembah Sungai Kinabatangan di Sabah misalnya mempunyai kepadatan penduduk yang sederhana.
6. Secara lazimnya kawasan gunung dan kawasan pedalaman yang berhutan tebal mempunyai taburan penduduk yang jarang. Keadaan ini berlaku kerana keadaan bentuk muka buminya menyukarkan pembinaan petempatan dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk membina kemudahan pengangkutan dan perhubungan. Contoh kawasan ini ialah kawasan tengah Semenanjung Malaysia, kawasan timur dan pedalaman Sabah, dan kawasan pedalaman Sarawak.
1. Perkembangan kegiatan sosioekonomi di sesuatu kawasan telah menarik minat penduduk dan menjadi kawasan tumpuan penduduk.
2. Bandar utama seperti Kuala Lumpur mempunyai penduduk yang padat kerana ia merupakan pusat pentadbiran dengan kemudahan awam dan mempunyai peluang pekerjaan yang banyak.
3. Kawasan yang giat untuk pertanian, perikanan, perindustrian dan perlombongan telah menjadi tumpuan penduduk kerana ia memberi peluang pekerjaan yang banyak untuk penduduk.
4. Kawasan yang mempunyai kemudahan asas yang lengkap seperti bank, klinik, pusat membeli-belah, pusat rekreasi, hospital dan pusat pengajian tinggi juga menjadi tumpuan penduduk.
5. Kawasan bandar yang mempunyai sistem perhubungan dan pengangkutan yang baik seperti pantai barat Semenanjung Malaysia.
1. Kawasan yang kaya dengan sumber mineral menggalakkan kegiatan perlombongan dan menjadi kawasan tumpuan penduduk.
2. Lembah Klang dan Lembah Kinta berkembang pesat akibat daripada perlombongan bijih timah.
3. Kegiatan perlombongan petroleum di Kerteh, Bintulu dan Sibu telah menjadi tumpuan penduduk dan juga menggalakkan perkembangan industri petroleum dan gas asli.
1. Melalui Dasar Perindustrian Negara (DPN), kerajaan telah mewujudkan kawasan Zon Perindustrian Bebas untuk menggalakkan pembinaan kawasan perindustrian yang terancang.
2. Kawasan perindustrian ini telah menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk dan menjadi tempat tumpuan penduduk. Contohnya, Bayan Lepas, Pasir Gudang dan Sungei Way.
3. Selain itu, kerajaan juga membuka kawasan baru seperti membangunkan kawasan luar bandar melalui FELDA di Segi Tiga jengka dan Johor Tenggara.
4. Kawasan baru ini telah menjadi tumpuan penduduk kerana ia memberi banyak peluang pekerjaan kepada penduduk.
5. Sekarang kawasan FELDA telah menjadi kawasan berpenduduk sederhana padat.
1. Jaringan pengangkutan yang padat di sesuatu kawasan akan turut mempengaruhi kepadatan penduduk di kawasan tersebut. Sekiranya jaringan pengangkutan yang terdapat di kawasan tersebut kurang maka kepadatan penduduknya juga kurang.
2. Pengangkutan jalan raya sebagai salah satu jaringan pegangkutan akan memudahkan penduduk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
3. Kemudahan pengangkutan dan perhubungan yang terdapat di sesuatu kawasan akan membantu mengembangkan lagi aktiviti perniagaan, perdagangan, dan perindustrian yang terdapat di kawasan tersebut.
4. Jaringan pengangkutan seperti jalan raya dan jalan kereta api akan memudahkan urusan penghantaran hasil pengeluaran kilang ke pelabuhan atau ke lapangan terbang untuk dieksport ke luar negara. Barang-barang jualan juga dapat dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain.
5. Perkembangan ini secara tidak langsung akan menjadikan sesuatu kawasan itu berpendudukan padat.
6. Pembinaan jaringan pengangkutan seperti Lebuh Raya Utara-Selatan telah menggalakkan beberapa kawasan yang dihubungkannya. Antaranya seperti Sungai Petani di Kedah, Jelapang di perak, Senai di Johor dan Bukit Tengah di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
7. Selain pengangkutan darat seperti jalan raya dan jalan kereta api kemudahan
pengangkutan udara turut menjadikan sesuatu kawasan itu berpenduduk padat.
Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) misalnya telah menyebabkan penduduk bertumpu di kawasan sekitarnya.
8. Bandar-bandar yang menjadi pusat pengangkutan dan perhubungan juga mempunyai
penduduk yang padat. Contohnya seperti kawasan petempatan di Masai, Johor yang
terletak berhampiran dengan Pelabuhan Pasir Gudang.

0 comments: