BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, October 28, 2011

bab 5 rajah


Rajah
1. Rajah adalah bahan grafik yang menyampaikan maklumat dan data geografi dalam bentuk lukisan.
2. Rajah bertujuan meringkaskan maklumat dan mepersembahkan data dengan lebih tepat, menarik jelas, dan mudah difahami.
3. Tajuk, label dan maklumat ringkas merupakan ciri-ciri penting untuk sebuah rajah yang lengkap.
4. Rajah boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu;-
(a) rajah kitaran; dan
(b) peta minda.
5. Rajah kitaran dikategorikan kepada dua iaitu
(a) Rajah tunggal ialah rajah yang menyampaikan keseluruhan maklumat dalam satu rajah.
(b) Rajah bersiri ialah rajah yang terdiri daripada beberapa rajah yang disusun mengikut urutan.
Rajah Kitaran
1. Rajah kitaran boleh digunakan untuk menunjukkan saling kaitan interaksi, taburan dan proses kejadian.
2. Sebelum melukis sesuatu rajah kitaran beberapa panduan atau langkah perlu dilakukan terlebih dahulu seperti
(a) mengumpul maklumat
(b) memilih fakta-fakta penting daripada maklumat; dan
(c) melukis dan melabel rajah kitaran
Rajah kitaran tunggal
Rajah Kitaran Bersiri

1. Sebelum melukis rajah kitaran kita perlu mengumpul maklumat berdasarkan tajuk rajah kitaran yang hendak dilukis.
2. Maklumat boleh diperoleh dari buku, majalah, soal selidik dan pemerhatian.
3. Berikut merupakan contoh maklumat yang dapat dikumpul tentang proses penanaman getah.
(a) proses penanaman getah bermula dengan kaedah cantuman;
(b) kepingan tunas kulit ranting pokok yang mengeluarkan hasil tinggi dipotong dan dicantumkan dengan pokok asal yang kurang mengeluarkan hasil;
(c) pokok asal yang dicantum dengan kepingan tunas dipotong setelah bahagian yang dicantum dibaluti;
(d) bahagian yang dibalut mengambil masa selama tiga minggu untuk mengeluarkan tunas; dan
(e) pokok dibiarkan membesar selama enam hingga tujuh tahun sebelum dapat ditoreh.
1. Sebelum sesuatu rajah kitaran dapat dilukis kita perlu memilih fakta-fakta penting daripada maklumat yang dikumpulkan.
2. Langkah ini bertujuan memudahkan proses melukis rajah kitaran.
3. Kenal pasti maklumat penting tentang proses penanaman getah seperti:
(a) memotong anak pokok getah yang mengeluarkan hasil tinggi;
(b) mencantumkan kepingan tunas pada anak pokok asal dan membalutkannya;
(c) memotong pokok asal;
(d) tunas baru tumbuh dan membesar; dan
(e) pokok muda cukup besar boleh ditoreh.
1. Setelah fakta-fakta penting dipilih, gambar rajah yang sesuai berdasarkan fakta yang dipilih bolehlah dilukis.
2. Rajah di bawah menunjukkan rajah kitaran tentang proses penanaman getah.

Proses penanaman getah
Panduan mentafsir rajah kitaran.
1. Teliti tajuk dan label yang terdapat dalam rajah kitaran.
2. Fahami aliran (proses) rajah kitaran berdasarkan anak panah atau urutan nombor yang ditunjukkan.
3. Buat huraian dan kesimpulan tentang rajah kitaran tersebut.
Contoh mentafsir rajah kitaran (Rajah 5.3)
Rajah 5.3 menunjukkan proses penanaman getah .Kebanyakkan pokok getah ditanam dengan menggunakan kaedah cantuman terutama di kawasan ladang. Melalui kaedah ini, tunas pada kulit ranting pokok yang mengeluarkan hasil tinggi akan dipilih dan dipotong. Kemudian tunas ini akan dicantumkan pada anak pokok getah yang kurang mengeluarkan hasil. Bahagian yang dicantum akan dibalut sebelum dipotong. Balutan ini dibiarkan selama tiga minggu untuk mengeluarkan tunas. Pokok yang mengeluarkan tunas akan dibiarkan membesar selama enam hingga tujuh tahun sebelum pokok getah tersebut dapat ditoreh.
Peta Minda

1. Peta minda adalah suatu rajah yang digunakan untuk meringkaskan dan merumuskan maklumat.
2. Panduan untuk melukis peta minda:
(a) Mengumpulkan maklumat;
(b) Memilih fakta-fakta penting daripada maklumat yang diperoleh; dan
(c) Melukis dan melabel peta minda.

1. Maklumat dikumpulkan berdasarkan tajuk peta minda yang hendak dihasilkan.
2. Maklumat diperoleh melalui buku, majalah, soal selidik dan pemerhatian.
3. Contoh maklumat yang dikumpul tentang kesan kegiatan manusia terhadap lautan.
(a) Pencemaran laut kesan daripada tumpahan minyak, pembuangan bahan dari kilang, pembuangan sisa domestik dari kawasan kediaman dan pembuangan bahan radioaktif serta sampah sarap.
(b) Kepupusan hidupan laut disebabkan oleh penangkapan ikan secara berlebihan, kerosakan dan kemusnahan habitat, penangkapan ikan yang belum sempat membiak dan pencemaran air laut yang membunuh ikan.
(c) Perubahan kawasan pinggir laut kesan daripada aktiviti menebus guna laut, pembinaan tembok dan penambakan laut;
(d) Kerosakan terumbu karang disebabkan oleh aktiviti menyelam, pembuangan bahan pencemaran dan pengorekan terumbu karang; dan
(e) Peningkatan aras laut kesan daripada pemanasan global yang mencairkan ais di kawasan kutub yang menenggelamkan kawasan sekitar pinggir laut.
1. Fakta -fakta penting dipilih daripada maklumat yang dikumpulkan.
2. Langkah ini bertujuan memudahkan proses melukis peta minda.
3. Kenal pasti maklumat penting tentang kesan kegiatan manusia terhadap lautan seperti:
(a) pencemaran laut
(b) kenaikan aras laut
(c) kepupusan hidupan laut
(d) kerosakan terumbu karang; dan
(e) perubahan keadaan pinggir laut.
1. Peta minda dilukis berdasarkan fakta-fakta penting yang telah dikenal pasti.
2. Rujuk Rajah di bawah yang menunjukkan contoh peta minda berkenaan kesan kegiatan manusia terhadap laut.
1. Panduan mentafsir peta minda
(a) Teliti tajuk dan label-label pada peta minda;
(b) Kenal pasti perkara yang diterangkan;
(c) Baca setiap huraian ringkas yang diberi; dan
(d) Buat huraian serta kesimpulan tentang peta minda.

0 comments: